AR-RAZAQ KIFAYAH MANAGEMENT MEMBUKA TIRAI 2026 DENGAN BENGKEL PENGURUSAN JENAZAH KE-23
- 3 Feb
- 2 min membaca
Updated: 4 Feb

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 1 Februari – Ar-Razaq Kifayah Management membuka tirai tahun 2026 dengan penganjuran Bengkel Pengurusan Jenazah ke-23 yang bertemakan “Pakaian di Alam Barzakh” bertempat di Masjid Jefri Bolkiah, Kampong Batong.
Bengkel ini merupakan anjuran bersama Ar-Razaq Kifayah Management, Masjid Kampong Batong dan Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

Ucapan daripada tetamu kehormat majlis Yang Mulia Awang Haji Amir Hisham bin Haji Masri, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU
Majlis bengkel ini telah diserikan dengan kehadiran Tetamu Kehormat, Yang Mulia Awang Haji Amir Hisham bin Haji Masri, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM), Kementerian Hal Ehwal Ugama, yang seterusnya menyempurnakan perasmian bengkel berkenaan.

Sesi praktikal untuk peserta lelaki yang dikendalikan oleh Cikgu Asmwady bin Haji Ahmad
Seramai 60 orang peserta telah menyertai bengkel ini yang dikendalikan oleh Awang Asmady bin Haji Ahmad bersama beberapa pengurus daripada Ar-Razaq Kifayah Management, serta dibantu oleh kakitangan wanita dari Unit Tanah-Tanah Perkuburan Islam Brunei bagi sesi pengurusan jenazah wanita.

Sesi praktikal untuk peserta perempuan yang dikendalikan oleh kakitangan wanita daripada Unit Tanah-tanah Perkuburan Islam (UTTPI)
Bengkel ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai pelaksanaan fardhu kifayah khususnya dalam aspek pengurusan jenazah, serta mempersiapkan individu agar mampu menjalankan tanggungjawab tersebut apabila diperlukan. Selain itu, ia juga bertujuan untuk mendidik peserta supaya sentiasa mengingati kematian sebagai satu kepastian dalam kehidupan setiap insan.
Menurut pihak penganjur, bengkel ini bukan sahaja memfokuskan kepada aspek teknikal dan praktikal, malah turut menekankan penghayatan rohani agar peserta lebih memahami hakikat kehidupan dan persediaan menuju alam akhirat.
Program seumpama ini diharapkan dapat melahirkan lebih ramai individu yang berilmu dan berkemahiran dalam pengurusan jenazah, serta menjadi pemangkin kepada perkongsian ilmu dalam masyarakat, seterusnya memastikan pengurusan jenazah di negara ini terus dilaksanakan dengan tersusun dan berlandaskan syariat Islam.



.png)


